Monday, 21 September 2015

PEDAGOGI DALAM PENDIDIKAN



Persediaan Mengajar

Persediaan yang rapi sebelum memulakan kerja bagi sebarang tugas amat dititikberatkan bagi memastikan setiap produktiviti atau hasil yang diperolehi adalah berkualiti dan dapat menepati objektif dan sasaran yang telah ditetapkan. Ia juga dapat melicinkan perjalanan proses yang terlibat. Terdapat pelbagai kemungkinan yang akan berlaku sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, makmal dan lain-lain. Ianya boleh mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Namun, sebagai langkah bagi memastikan perjalanan proses pengajaran yang lancar, guru harus bersedia dan mempersiapkan diri sebelum memulakan tugas mengajar. Persediaan mengajar mempunyai tiga komponen penting iaitu komponen persediaan, penyampaian, dan penutup (Mok, S. S., 2002).





Komponen Persediaan Mengajar

Persediaan mengajar merujuk kepada satu perancangan yang terdiri daripada langkah-langkah pengajaran yang akan dilaksanakan oleh guru dalam bilik darjah. Ia terdiri daripada butiran am, tajuk pelajaran, objektif, kemahiran serta bahan bantu mengajar. Pengetahuan sedia ada pelajar perlu juga dipertimbangkan sebelum memulakan sesi pengajaran. Selain itu, penerapan ilmu dan penerapan nilai-nilai murni kepada para pelajar bagi seperti kerjasama, kerajinan, keberanian dan amanah penting kerana masing-masing dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dan memberikan pengalaman baru kepada pelajar serta dapat membentuk akhlak terpuji yang dapat diamalkan oleh mereka dalam kehidupan seharian.

Set induksi merupakan pra permulaan proses pengajaran. Ia juga harus dirancang sebelum memulakan sesi pengajaran. Teknik mengajar yang disediakan adalah mengikut kaedah pengajaran yang dipilih, contohnya jika guru ingin memilih kaedah bercerita bagi subjek Sejarah. Kaedah ini dapat menarik minat pelajar untuk mendengar dan memahami situasi sebenar peristiwa yang berlaku sekiranya teknik (gaya) penceritaan guru tersebut bersesuaian dan kena pada tempatnya. Langkah pengajaran seterusnya adalah langkah perkembangan dan diakhiri dengan sesi penutup atau kesimpulan. Namun tindakan susulan perlu dilakukan oleh guru dan guru harus bersedia dan merancang tindakan yang akan dilakukan sebelum menamatkan sesi pengajaran seperti pemberian kerja rumah, penerangan tentang serba sedikit tentang topik yang akan diajar pada sesi seterusnya serta meminta pelajar membaca petikan teks yang diberikan dan lain-lain.

Komponen Penyampaian Pengajaran

Guru perlu merancang elemen penyampaian pengajaran agar ianya bersesuaian dengan tahap kebolehan pelajar dengan mengambil kira penggunaan kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran, masa, pemeringkatan isi serta pemilihan sumber dan ralat. Perkara lain yang harus dipertimbangkan juga dalam usaha untuk menyampaikan pengajaran adalah kesesuaian aktiviti dengan topik pengajaran, kualiti guru itu sendiri di mana gabungan ilmu pengetahuan, kepakaran dan pengalaman guru harus diambilkira serta mempunyai sistem penghantaran maklumat untuk penyampaian yang efektif seperti penggunaan teknologi. Dalam komponen ini, guru harus mengaitkan objektif pengajaran dan pembelajaran dengan mengambil kira pengetahuan sedia ada pelajar.

Komponen Penutup

Langkah terakhir dalam komponen persediaan mengajar adalah penutup. Ia merangkumi pemilihan jenis penutup yang bersesuaian, aktiviti susulan, penilaian objektif pelajaran, aktiviti membuat rumusan, serta perubahan mengikut kesesuaian  dari segi pendekatan, kaedah, strategi, bahan dan alat bantu mengajar dan lain-lain dalam sesi pengajaran yang seterusnya.

 Aktiviti susulan merupakan pemberian kerja rumah, latihan dan lain-lain sebelum sesi pembelajaran ditamatkan. Manakala, dalam persediaan penilaian, pelbagai cara seperti kaedah pemerhatian, soal jawab, perbincangan, kerja bertulis dan kerja rumah dapat digunakan. Oleh itu, guru harus merancang kaedah yang akan digunakan bagi menilai tahap kebolehan dan keupayaan pelajar dalam penguasaan subjek serta keberkesanan kaedah dan aktiviti yang dilaksanakan oleh guru.

 Terdapat dua jenis penilaian iaitu penilaian formatif dan penilaian sumatif. Penilaian formatif  digunakan untuk mengukur hasil pembelajaran selepas satu unit pembelajaran atau pada akhir sesuatu bab dalam buku teks. Manakala, penilaian sumatif merupakan peniliaian yang dijalankan pada akhir sesuatu kursus. Penilaian sesuatu topik pengajaran juga boleh dibuat di langkah penutup iaitu bahagian terakhir dalam sesuatu proses pengajaran pembelajaran. Penentuan jenis penilaian yang sesuai dengan tujuan dan langkah pengajaran adalah berdasarkan Taksonomi Bloom, Krathowl dan Simpson. Tujuan penilaian adalah untuk mengesan penguasaan, kemajuan dan tahap pencapaian pelajar-pelajar.

Aktiviti membuat rumusan pula boleh dibuat oleh pelajar dan seterusnya guru memberi pandangan bagi menyimpulkan keseluruhan proses pengajaran yang telah dilaksanakannya pada hari tersebut dengan meyampaikan penerangan secara ringkas..

Kepentingan Persediaan Mengajar

Terdapat beberapa kepentingan persediaan mengajar dalam perancangan pengajaran. Di antaranya ialah, ia membolehkan guru menentukan objektif pengajaran yang sesuai dengan sukatan pelajaran dan kebolehan pelajar. Selain itu, guru juga dapat menentukan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik pengajaran yang sesuai dengan objektif pengajaran serta dapat membantu guru memilih bahan dan sumber serta aktiviti yang sesuai. Guru juga dapat memastikan semua isi pelajaran dapat disampaikan kepada murid dengan baik. Di samping itu, persediaan mengajar dapat memastikan guru agar tidak menyeleweng dalam pengajaran Pendapat ini disokong oleh Atan, L. (1993) yang menyatakan dengan adanya persediaan mengajar, guru akan memikirkan dengan terang matlamat atau objektif, pemilihan isi penting, pemilihan dan susun cara mengajar, perancangan aktiviti dan persediaan penilaian.

Selain itu, persediaan mengajar penting dalam memberi keyakinan kepada guru-guru, terutamanya guru-guru baru serta memastikan pengajaran lebih sistematik dan berkesan dari segi pengawalan kelas, penggabung jalinan dan penyerapan secara terancang. Pandangan di atas disokong oleh Mok, S. S. (2002), di mana beliau telah memberikan beberapa kepentingan persiapan persediaan mengajar termasuklah membolehkan guru mengajar dengan lebih berkeyakinan.

Apabila tugas seseorang guru diambil alih oleh guru lain atas sebab pertukaran, cuti rehat, cuti bersalin dan lain-lain , ianya akan memudahkan guru baru merancang pengajarannya berdasarkan catatan atau rekod yang telah dibuat oleh guru sebelumnya. Sekiranya persediaan mengajar disediakan sebelum memulakan proses pengajaran dan pembelajaran, hasil atau impak pengajaran tersebut dapat diperolehi di akhir sesi pengajaran di mana guru dapat menilai keberkesanan pengajarannya sama ada ia perlu diteruskan atau perlu dilakukan penambahbaikan dari segi pendekatan, kaedah, teknik dan sumber serta bahan yang telah digunakan.

Kesimpulan

Sebelum memulakan sesuatu pekerjaan, kita sebagai manusia harus bersedia dari aspek fizikal dan mental. Bahkan sebelum mendapat pekerjaan lagi, kita perlu mempersiapkan diri dengan ilmu dan pengalaman sebelum menghadiri temu duga yang akan dijalankan oleh pihak tertentu. Persediaan penting bagi menghadapi sebarang keadaan di mana kita tidak tahu sebarang kemungkinan dan situasi yang bakal terjadi. Bagi seorang guru, persediaan mengajar amat penting di mana ia dapat menentukan tahap profesionalisme guru tersebut bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan mengelakkan keadaan yang tidak diingini daripada berlaku terutamanya terhadap pelajar.

No comments:

Post a Comment